12 Oktober 2010

Salasilah Bahasa Melayu

SARJANA yang mengkaji asal usul bahasa Melayu berpendapat bahawa bahasa Melayu berasal daripada satu filum yang dipanggil Austris. Filum ialah kelompok bahasa induk yang paling tua, yang dianggarkan usianya lebih daripada 5,000 tahun.

Filum Austris ini menurunkan rumpun bahasa Austronesia, Austroasia dan Tibet-China. Bahasa Melayu adalah daripada keturunan bahasa Austronesia. Bahasa dalam kelompok rumpun dianggarkan dalam usia 2,500 hingga 5,000 tahun. Austronesia bermaksud “bahasa di kepulauan selatan” dan pernah dikenali sebagai Melayu-Polinesia.
Rumpun Austronesia ini menurunkan keluarga bahasa Nusantara, Mikronesia, Polinesia dan Melanesia. Bahasa Melayu turunan daripada bahasa Nusantara. Bahasa ini mempunyai keluarga bahasa yang terbesar, terdiri daripada 200 hingga 3000 bahasa. Kawasannya juga luas, meliputi Formosa di utara, Maluku di timur, Pulau Timor di selatan, dan Madagaskar di barat.
Keluarga Nusantara kemudiannya menurunkan bahasa Sumatera, dan 15 bahasa lain, antaranya Filipina, Jawa, Kalimantan, Sulawesi Selatan, dan Ambon Timur.

Daripada golongan bahasa Sumatera inilah datangnya bahasa Melayu, selain bahasa Aceh, Batak, Minangkabau, Nias, Lampung, dan Orang Laut.

Dari segi perkembangannya, bahasa Melayu lazimnya dibahagikan kepada tiga peringkat, iaitu, bahasa Melayu kuno, bahasa Melayu klasik, dan bahasa Melayu moden. Bahasa Melayu kuno berkembang pada penghujung abad ketujuh hingga abad ke-13, manakala bahasa Melayu klasik berkembang pada abad ke-14, iaitu pada zaman kedatangan Islam ke Nusantara, hingga abad ke-18. Bahasa Melayu moden pula berkembang pada zaman penguasaan Barat di Asia Tenggara, iaitu mulai abad ke-19 hingga sekarang.

Peperiksaan Akhir Tahun Pelajar Pra Universiti Junior 1&2

Peperiksaan Akhir Tahun Pelajar Pra Universiti Junior 1&2 akan bermula pada 20 Okt 2010. Semua bab dalam sukatan pelajaran yang telah diajar untuk pelajar junior akan dikemukakan dalam soalan Peperiksaan Akhir Tahun Bahasa Melayu Kertas 1. Semua pelajar diharap bersedia dengan peperiksaan yang akan dihadapi nanti.

11 September 2010

SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI

Saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri kepada semua warga SMK Ungku Husin, Endau terutama kepada guru-guru dan pelajar-pelajar Prauniversiti. Di kesempatan ini, saya sekeluarga ingin memohon jutaan ampun dan maaf kepada semua warga SMK Ungku Husin atas segala kesilapan yang telah dilakukan. Semoga Hari Raya yang disambut pada tahun ini memberi sinar dan harapan yang bahagia buat pelajar-pelajar saya. Selamat Hari Raya Aidil Fitri, Maaf Zahir dan Batin.

BLOG BAHASA MELAYU SMKUH