24 November 2010

SELAMAT MENGHADAPI PEPERIKSAAN STPM 2010

Kepada semua pelajar Tingkatan 6SR1/6SR2 SMKUH, saya ingin mengucapkan Selamat Menghadapi Peperiksaan STPM 2010. Ketenangan dalam menghadapi situasi penting ini amat-amatlah diperlukan. Semoga ketenangan ini sentiasa berada di sisi anda ketika menjawab soalan. Tidak ada lagi bantuan dari ibu bapa, guru-guru dan rakan-rakan semasa anda menjawab soalan yang diberikan. Hanya anda dan dengan doa kepada Allah s.w.t  sahajalah yang akan membantu dan memberi ketenangan ketika menjawab. Kami, warga guru SMKUH sentiasa mendoakan kejayaan anda. Ingatlah...peluang pertama telah anda lepaskan (SPM) dan anda telah diberi peluang untuk kedua kalinya...ingin anda lepaskan lagi!!!!Tekad dan bulatkan dalam diri anda yang sememangnya anda mampu melakukannya!!!

12 Oktober 2010

Salasilah Bahasa Melayu

SARJANA yang mengkaji asal usul bahasa Melayu berpendapat bahawa bahasa Melayu berasal daripada satu filum yang dipanggil Austris. Filum ialah kelompok bahasa induk yang paling tua, yang dianggarkan usianya lebih daripada 5,000 tahun.

Filum Austris ini menurunkan rumpun bahasa Austronesia, Austroasia dan Tibet-China. Bahasa Melayu adalah daripada keturunan bahasa Austronesia. Bahasa dalam kelompok rumpun dianggarkan dalam usia 2,500 hingga 5,000 tahun. Austronesia bermaksud “bahasa di kepulauan selatan” dan pernah dikenali sebagai Melayu-Polinesia.
Rumpun Austronesia ini menurunkan keluarga bahasa Nusantara, Mikronesia, Polinesia dan Melanesia. Bahasa Melayu turunan daripada bahasa Nusantara. Bahasa ini mempunyai keluarga bahasa yang terbesar, terdiri daripada 200 hingga 3000 bahasa. Kawasannya juga luas, meliputi Formosa di utara, Maluku di timur, Pulau Timor di selatan, dan Madagaskar di barat.
Keluarga Nusantara kemudiannya menurunkan bahasa Sumatera, dan 15 bahasa lain, antaranya Filipina, Jawa, Kalimantan, Sulawesi Selatan, dan Ambon Timur.

Daripada golongan bahasa Sumatera inilah datangnya bahasa Melayu, selain bahasa Aceh, Batak, Minangkabau, Nias, Lampung, dan Orang Laut.

Dari segi perkembangannya, bahasa Melayu lazimnya dibahagikan kepada tiga peringkat, iaitu, bahasa Melayu kuno, bahasa Melayu klasik, dan bahasa Melayu moden. Bahasa Melayu kuno berkembang pada penghujung abad ketujuh hingga abad ke-13, manakala bahasa Melayu klasik berkembang pada abad ke-14, iaitu pada zaman kedatangan Islam ke Nusantara, hingga abad ke-18. Bahasa Melayu moden pula berkembang pada zaman penguasaan Barat di Asia Tenggara, iaitu mulai abad ke-19 hingga sekarang.

BLOG BAHASA MELAYU SMKUH