25 Ogos 2010

Selamat Menghadapi Peperiksaan

Kepada semua pelajar Prauniversiti Senior dan Junior SMK Ungku Husin saya ingin mengucapkan Selamat Menghadapi Peperiksaan pada minggu hadapan. Gunakan kesempatan yang ada ini untuk menyiapkan diri anda dengan segala ilmu yang ada dan juga yang telah dicurahkan oleh guru-guru semoga kecemerlangan yang ingin dicapai akan berhasil juga. Guru-guru sentiasa mendoakan kejayaan anda. Selamat Berjuang.

Peperiksaan Percubaan STPM Negeri Johor bermula pada 01 September 2010
Peperiksaan Selaras 2 bermula pada 30 Ogos 2010

09 Ogos 2010

Model Ekonomi Baru

Satu lagi isu yang perlu diberi perhatian oleh pelajar

 
TEKS UCAPAN
MODEL EKONOMI BARU
PERDANA MENTERI DATUK SERI NAJIB TUN ABDUL RAZAK

PENGENALAN

1       Pada 2009, dunia berada dalam kemelut kemelesetan ekonomi global yang pertama. Lebih 20 juta pekerjaan telah hilang. Sumber kekayaan bertrilion dolar terus hilang. Ekonomi di seluruh dunia mengalami penguncupan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Pengeluaran industri dan pelaburan modal jatuh mendadak.

2       Kita mengalu-alukan ketibaan tahun 2010. Namun, sementara Malaysia masih merasai kesan kemelesetan ini, saya percaya kita telah mengharungi rintangan dan mencapai kemajuan dalam menongkah arus. Kita enggan menjadi pemerhati pasif semasa kemelesetan ini melanda rantau Asia, justeru kita telah bertindak dengan tegas dan pantas.
5. Kita telah menyuntik RM67 bilion rangsangan fiskal, dan berjaya mengimbangi pelaburan negara yang dikehendaki dan perbelanjaan berhemat yang diperlukan untuk mengurangkan defisit bajet. Kita telah memperkenalkan rangkuman insentif dan inisiatif liberalisasi sektor perkhidmatan yang membuka peluang kepada pelaburan yang berkualiti tinggi dalam sektor utama ekonomi negara.

3       Kini, kita sedang menyaksikan hasil langkah-langkah tersebut. KDNK bagi suku keempat 2009 mencatatkan pertumbuhan 4.5 peratus, lebih tinggi daripada yang dijangkakan. Pakej-pakej rangsangan menjana ratusan projek infrastruktur penghasilan kerja. Eksport kembali pulih, dan pengaliran semula pelaburan asing yang berkualiti ke Malaysia. Defisit fiskal dijangka mengecil dari 7.0 peratus kepada 5.6 peratus pada tahun 2010. Indeks pengeluaran industri kembali kukuh dengan pertumbuhan 12.7 peratus pada Januari 2010. Jumlah eksport meningkat 37 peratus kepada RM52 bilion dan import bertambah 31 peratus kepada RM40 bilion.

4       Aktiviti sektor swasta yang positif juga amat menggalakkan. Coca-cola telah mengumumkan pelaburan bernilai 1 bilion ringgit yang mampu menjana 2,000 hingga 3,000 pekerjaan di Malaysia. IPO Maxis yang bernilai beberapa bilion ringgit merupakan yang terbesar di Asia Tenggara dan ini mencerminkan visi keusahawanan yang biasa saya lihat dalam setiap syarikat tempatan. JCY Berhad juga merupakan satu contoh kebanggaan aktiviti sektor swasta, di mana ia bermula sebagai syarikat yang kecil dan kini, menghasilkan 25 peratus daripada pengeluaran pemacu cakera keras dunia. Melangkah ke hadapan, pegangan Kerajaan dalam pasaran akan dikurangkan, modal akan dijana, inovasi akan dipupuk dan kekayaan akan dihasilkan bagi memberi kemudahan untuk mengembangkan lagi ekonomi Malaysia.

5       Ekonomi global masih belum pulih sepenuhnya daripada kejutan kemelesetan sejak dua tahun lepas. Negara kita juga tidak terkecuali daripada menerima impak tersebut. Sungguhpun demikian, ekonomi Malaysia kini berada dalam landasan pemulihan yang kukuh. Keputusan yang diambil oleh Kerajaan dan visi sektor swasta yang dinamik telah membantu mewujudkan asas untuk pembangunan ekonomi Malaysia ke tahap seterusnya.

06 Ogos 2010

Pembuangan Bayi

Isu semasa yang perlu diberi perhatian oleh pelajar


BAHAN BACAAN 1
Menangani gejala sosial generasi muda
Oleh HASBULLAH MAT DAUD

BERITA pembuangan bayi yang dipercayai baru dilahirkan ditemui di depan tempat tumpuan awam bukanlah isu baru. Isu ini kembali mendapat tempat di beberapa media massa setelah lama tidak kedengaran kes-kes sedemikian rupa.

Apa yang membimbangkan ialah bilangan kes pembuangan bayi di kalangan wanita remaja semakin meningkat, malah ia sangat meruncing sejak akhir-akhir ini.

Perbuatan membuang bayi yang baru lahir dalam apa keadaan sekalipun dan ia mengakibatkan kematian bayi tersebut sebenarnya adalah pembunuhan.

Sesiapa sahaja yang membuang bayi itu atau terlibat dengan perbuatan tersebut adalah melakukan pembunuhan dan salah dari segi agama dan tindakan undang-undang akan diambil.

Kejadian yang semakin bercelaru dan menjajah pemikiran golongan generasi muda ini dibimbangi akan terbawa-bawa kepada peningkatan jenayah di peringkat yang lebih serius seiring dengan usia mereka.

Mengikut undang-undang, Seksyen 302 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman mati ke atas pesalah jika disabitkan kesalahan membunuh. Selain itu, pasangan lelaki juga harus disabitkan kesalahan.

Delima Perdagangan Manusia

Isu semasa yang perlu diberi perhatian oleh pelajar


DILEMA PERDAGANGAN MANUSIA
Oleh MOHD. NA'EIM AJIS
Pensyarah Kolej Undang-Undang,
Kerajaan dan Antarabangsa, UUM
Utusan Malaysia
01.10.2009

AKTIVITI perdagangan manusia merupakan antara jenayah tertua. Ia juga dianggap sebagai suatu industri universal dan tidak tertakluk kepada satu-satu negara untuk beroperasi. Laporan Perdagangan Manusia (TIP) oleh Jabatan Negara Amerika Syarikat menganggarkan, kegiatan perdagangan manusia di negara itu melibatkan keuntungan antara AS$1 bilion hingga AS$3 bilion (RM3.5 bilion hingga RM10.5 bilion) setahun. Dianggarkan sekitar 600,000 hingga 800,000 orang menjadi mangsa sindiket perdagangan manusia dengan sekitar 14,500 hingga 17, 500 daripadanya diperdagangkan di AS setahun. Sementara itu, Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Khusus Membanteras Dadah dan Jenayah (UNODC) menganggap perdagangan manusia sebagai industri jenayah yang menjana keuntungan sekitar AS$5 bilion hingga AS$9 bilion (RM17.5 bilion hingga RM31.5 bilion) setahun.

Isu perdagangan manusia kini menjadi antara fenomena yang mengancam banyak negara. AS telah menggubal undang-undang perdagangan manusia iaitu Akta Perlindungan Mangsa Penyeludupan dan Keganasan 2000.  Akta itu telah memperluaskan konsep perdagangan manusia dan mengenakan hukuman berat ke atas mereka yang terlibat. Malaysia juga telah meluluskan Akta Antipemerdagangan Orang 2007 (ATIP) bagi menangani isu tersebut. Kewujudan akta ini telah memberikan kuasa kepada kerajaan untuk mendakwa dan mengenakan hukuman dengan peruntukan penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga RM500,000.  Sejajar dengan pengenalan akta tersebut, kerajaan turut menubuhkan Majlis Antipemerdagangan Orang (MAO) yang berfungsi untuk menyelaraskan dasar dan melaksanakan ATIP.

04 Ogos 2010

Bahasa Rojak


Isu Semasa yang perlu diberi perhatian oleh pelajar

BAHAN BACAAN 1
Krisis generasi bahasa rojak
Pandangan dua tokoh tentang penguasaan dua bahasa
DR. FIRDAUS ABDULLAH

Di bawah sinar cahaya candelier dalam dewan bankuet sebuah hotel mewah di ibu kota petang Isnin 11 Mac yang lalu, seorang tokoh veteran telah menghuraikan satu aspek yang hampir dilupakan ramai mengenai seorang tokoh yang sudah dirujuk sebagai allahyarham.

Tokoh veteran itu ialah Tan Sri Arshad Ayub. Dan tokoh yang sudah berpulang ke rahmatullah itu ialah Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein.

Kata Tan Sri Arshad: ``Allahyarham Tun Abdul Razak sebagai seorang nasionalis, pada pandangan saya, tidak mahu berkompromi mengenai martabat dan status bahasa Melayu. Pada masa yang sama sebagai seorang visionary, allahyarham menyedari peri pentingnya menguasai bahasa Inggeris sebagai bahasa ilmu dan alat komunikasi yang penting di dunia antarabangsa.''

Arshad berhujah dan merumuskan bahawa Tun Razak melihat bahasa Melayu dan bahasa Inggeris itu sama pentingnya, walaupun kadang-kadang untuk peranan yang berbeza.

Jika pandangan dan gagasan Tun Razak mengenai kemahiran dan penguasaan bahasa itu dilihat dan diterjemahkan dalam konteks semasa, kata Arshad, maka kesimpulan yang akan kita peroleh ialah bahawa kita perlu melahirkan satu masyarakat yang benar-benar dwibahasa atau genuinely bilingual, iaitu mahir bertutur dan menulis dua bahasa (Melayu dan Inggeris) dengan nahu dan grammar yang betul dan tidak menggunakan bahasa rojak.

BLOG BAHASA MELAYU SMKUH