04 Ogos 2010

Bahasa Rojak


Isu Semasa yang perlu diberi perhatian oleh pelajar

BAHAN BACAAN 1
Krisis generasi bahasa rojak
Pandangan dua tokoh tentang penguasaan dua bahasa
DR. FIRDAUS ABDULLAH

Di bawah sinar cahaya candelier dalam dewan bankuet sebuah hotel mewah di ibu kota petang Isnin 11 Mac yang lalu, seorang tokoh veteran telah menghuraikan satu aspek yang hampir dilupakan ramai mengenai seorang tokoh yang sudah dirujuk sebagai allahyarham.

Tokoh veteran itu ialah Tan Sri Arshad Ayub. Dan tokoh yang sudah berpulang ke rahmatullah itu ialah Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein.

Kata Tan Sri Arshad: ``Allahyarham Tun Abdul Razak sebagai seorang nasionalis, pada pandangan saya, tidak mahu berkompromi mengenai martabat dan status bahasa Melayu. Pada masa yang sama sebagai seorang visionary, allahyarham menyedari peri pentingnya menguasai bahasa Inggeris sebagai bahasa ilmu dan alat komunikasi yang penting di dunia antarabangsa.''

Arshad berhujah dan merumuskan bahawa Tun Razak melihat bahasa Melayu dan bahasa Inggeris itu sama pentingnya, walaupun kadang-kadang untuk peranan yang berbeza.

Jika pandangan dan gagasan Tun Razak mengenai kemahiran dan penguasaan bahasa itu dilihat dan diterjemahkan dalam konteks semasa, kata Arshad, maka kesimpulan yang akan kita peroleh ialah bahawa kita perlu melahirkan satu masyarakat yang benar-benar dwibahasa atau genuinely bilingual, iaitu mahir bertutur dan menulis dua bahasa (Melayu dan Inggeris) dengan nahu dan grammar yang betul dan tidak menggunakan bahasa rojak.


Arshad menyuarakan kebimbangan terhadap fenomena (kemunculan) satu generasi yang hanya tahu ``berbahasa rojak'', tidak lancar bahasa Inggerisnya dan tidak pula fasih bahasa Melayunya. Ini bukan sahaja merupakan satu masalah komunikasi tetapi sudah boleh dianggap sebagai satu `krisis identiti'.

Oleh kerana itu beliau mencadangkan satu langkah yang tegas dan menyeluruh diambil membongkar ke akar umbinya sebab musabab yang menjadi punca krisis tersebut. Hanya setelah sebab musabab yang sebenar diketahui maka satu penyelesaian yang berkesan dapat dilaksanakan.

Satu jawatankuasa peringkat tinggi perlu ditubuhkan untuk tujuan itu. Dan selanjutnya beliau mencadangkan supaya segala sumber pengajaran dan pembelajaran bahasa di pusat-pusat tinggi ditumpukan untuk peningkatan kemahiran dan penguasaan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris.

Arshad yang pada suatu masa dahulu namanya sinonim dengan ITM (Institut Teknologi MARA) dan pada tahun lalu dinobatkan pula sebagai Pro Canselor UiTM (Universiti Teknologi MARA) berkata demikian dalam ucapannya sewaktu menerima Anugerah Kebangsaan Tun Abdul Razak 2002.

Anugerah itu yang semenjak tahun 1978 telah diberikan kepada 15 orang tokoh ternama dan berjasa dikelolakan oleh Yayasan Tun Razak, iaitu satu yayasan yang wujud dengan kelulusan Parlimen dan perkenan Yang di-Pertuan Agong pada 1976.

Selain daripada merujuk Tun Razak sebagai salah seorang Bapa Pengasas (Founding Fathers) kepada negara Malaysia di samping Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra dan sebagai Bapa Pembangunan, Arshad juga menyifatkan allahyarham sebagai seorang pencetus wawasan atau visionary yang mahu supaya Malaysia sebagai sebuah negara-bangsa (nation state) yang dibina mengikut `acuan kita sendiri'.

Tun Razak, tegasnya lagi, telah meletakkan asas yang kukuh untuk pembinaan jati diri bangsa dan pembangunan negara yang berdaulat dan bersatu padu dengan penggubalan berbagai-bagai dasar kebangsaan seperti Dasar Pelajaran Kebangsaan, Dasar Bahasa Kebangsaan, Dasar Kebudayaan Kebangsaan dan yang tidak kurang pentingnya Dasar Ekonomi Baru.

Tentu semuanya itu memberi justifikasi kepada Arshad untuk memberi sanjungan yang lebih tinggi kepada Tun Razak sebagai ``seorang tokoh yang luar biasa, seorang gergasi dalam sejarah bangsa Melayu dan seorang arkitek ulung dalam pembinaan negara Malaysia.''

Sebelum ini memang berbagai-bagai pengiktirafan dan sanjungan telah diberikan kepada Tun Abdul Razak kerana jasa baktinya di berbagai-bagai bidang terutama di bidang pembangunan sosioekonomi.

Tetapi satu perkara khas yang menarik perhatian saya dalam ucapan Arshad itu ialah rujukannya kepada pandangan dan minat allahyarham terhadap penguasaan dwibahasa dan jati diri bangsa.

Untuk mengenang dan menghargai allahyarham dari sudut penguasaan bahasa dan jati diri bangsa ini, Arshad telah memberikan interpretasinya terhadap gagasan Tun Abdul Razak dan keprihatinannya mengenai maruah dan tamadun kita sebagai satu bangsa yang berdaulat dan sekali gus merujuk pula kepada realiti dunia internasional.

Arshad mengingatkan kita seperti berikut: ``Semasa hayatnya allahyarham terlibat secara langsung atau memberi sokongan moral dan material terhadap pelbagai gerakan dan peristiwa penting untuk kemajuan dan pengembangan bahasa dan sastera Melayu, termasuk Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Yang Kedua di Johor Bahru pada tahun 1956 yang kemudian melahirkan Dewan Bahasa dan Pustaka.

``Semasa Tun Razak menjadi Perdana Menteri, dua langkah penting yang dilaksanakan oleh kerajaan untuk memberi pengiktirafan dan galakan terhadap perkembangan dan kemajuan sastera berbahasa Melayu, iaitu memulakan pemberian Hadiah Sastera Malaysia untuk karya-karya sastera terbaik setiap tahun dan menganugerahkan gelaran Sasterawan Negara berserta pelbagai ganjarannya kepada tokoh-tokoh sastera yang layak.''

Arshad juga telah membacakan petikan satu karangan yang pernah ditulis oleh Tun Razak semasa menuntut di Kolej Melayu Kuala Kangsar pada tahun 1940. Karangan tersebut tersiar dalam majalah tahunan kolej, The Malay College Magazine 1940. Ia berjudul Belia-belia dengan persuratan.

Antara lain pelajar Abdul Razak mengingatkan rakan-rakannya: ``Bagi belia-belia di bangku sekolah sukacitalah saya berkata bahawa walaupun tempoh sekolah Melayu tuan-tuan terpaksa disingkatkan kerana hendak merebut peluang mempelajari bahasa Inggeris tetapi janganlah lupa berjinak-jinak dengan persuratan Melayu. Untukkanlah masa setiap hari walau sekejap bagi membaca atau menulis menyiasat bahasa Melayu kita.''

Ertinya, semenjak di bangku sekolah lagi minat dan perhatian Tun Razak terhadap bahasa dan persuratan Melayu memang sudah tumbuh tersemai. Dan kesedaran serta kebanggaan terhadap bahasa ibunda sendiri itu terus tumbuh membiak dalam diri Tun Razak hingga allahyarham menjadi seorang tokoh dan pemimpin negara.

Namun demikian, sebagai seorang visionary yang berpandangan jauh allahyarham menyedari peri pentingnya menguasai bahasa Inggeris sebagai bahasa ilmu dan alat komunikasi yang penting di dunia antarabangsa.

Untuk mengambil teladan daripada semangat dan kesedaran serta wawasan Tun Razak itulah, kata Arshad selanjutnya, maka kita perlu melahirkan satu masyarakat yang benar-benar dwibahasa atau genuinely bilingual iaitu mahir bertutur dan menulis dua bahasa (Melayu dan Inggeris) dengan nahu dan grammar yang betul, dan bukan menggunakan bahasa rojak.

Ternyata Arshad begitu prihatin dengan fenomena `bahasa rojak' ini.

Selanjutnya, Arshad berkata: ``Semenjak beberapa tahun yang lalu pihak kerajaan, syarikat-syarikat swasta dan masyarakat awam telah menyuarakan kebimbangan mengenai penguasaan bahasa Inggeris yang semakin merosot di kalangan generasi muda dan pelajar-pelajar kita.

``Langkah-langkah meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris itu ternyata menghadapi berbagai-bagai masalah dan kontroversi. Ada yang menganggap seakan-akan antara bahasa Inggeris dan bahasa Melayu itu terdapat hubungan zero-sum-game, iaitu satu bentuk hubungan di mana kerugian atau kekurangan di satu pihak dianggap sebagai keuntungan atau kelebihan di pihak lain.

``Ada pula yang beranggapan bahawa masalah utama kemerosotan penguasaan bahasa Inggeris itu ialah kerana sistem pengajaran yang tidak berkesan atau kaedah pedagogi yang tidak betul. Ada pula yang beranggapan bahawa ketaksuban terhadap bahasa Melayu telah menghalang penguasaan ke atas bahasa Inggeris.''

Tetapi Arshad beranggapan bahawa sebab musabab yang sebenarnya kemerosotan penguasaan bahasa Inggeris itu masih belum dikenal pasti dengan sungguh-sungguh dan kerana itu tidak dapat dirumuskan dengan tepat. Tanpa mengenal pasti punca masalah yang sebenarnya sudah tentu penyelesaian yang berkesan tidak akan dapat diperoleh.

Kata Arshad lagi, dalam kebimbangan kita terhadap kemerosotan penguasaan bahasa Inggeris itu, ada satu masalah lain yang seakan-akan dilupakan. Masalah itu ialah penguasaan generasi muda kita ke atas bahasa Melayu yang betul dan teratur.

Kita berhadapan dengan satu generasi yang hanya tahu berbahasa rojak. Ini adalah satu masalah gawat yang kita hadapi dalam bidang bahasa dan jati diri. Oleh kerana itu maka beliau mencadangkan supaya kerajaan dengan tegas menggubal dan melaksanakan dasar penguasaan dwibahasa secara serentak.

Ertinya di samping mempromosikan pengajaran dan penguasaan bahasa Inggeris, langkah-langkah yang lebih tegas dan sungguh-sungguh mestilah juga dilaksanakan untuk meningkatkan penguasaan bahasa Melayu yang betul dan teratur.

Sehubungan dengan itulah beliau mencadangkan supaya fakulti-fakulti pengajian bahasa di pusat-pusat pengajian tinggi memberi tumpuan dan keutamaan terhadap pengajaran dan pembelajaran kedua-dua bahasa Melayu dan Inggeris itu.

Arshad yakin bahawa pandangan dan cadangan tersebut bertepatan dengan gagasan Allahyarham Tun Abdul Razak yang ingin melihat bangsa dan rakyat Malaysia mempunyai kemahiran dwibahasa yang sebenarnya.


BAHAN BACAAN 2
Bahasa rojak, Melayu hamburger


PENUBUHAN Panel Penasihat Penyiaran telah dilancarkan pada 17 Ogos 1997 oleh Menteri Penerangan, Datuk Mohamed Rahmat. Panel yang berperanan sebagai penasihat kepada Menteri Penerangan itu bertanggungjawab menetapkan standard yang perlu dipatuhi oleh stesen penyiaran tempatan ke arah mewujudkan masyarakat bermaklumat di samping mengekalkan nilai murni.

Pelantikan tokoh politik veteran, Datuk Dr. Rais Yatim - yang suatu ketika dahulu pernah menyandang tugas Menteri Penerangan - sebagai pengerusi panel yang dianggotai oleh kira-kira 25 ahli itu telah dipersetujui oleh Perdana Menteri pada 7 Ogos 1997.

Masalah bahasa banyak, kata Dr. Rais, dan cabaran kepada lebih kurang 25 orang anggota Panel Penasihat Penyiaran itu ialah untuk melihat bagaimana siaran awam dan swasta dapat menjalankan tugas masing-masing di samping mendapat keuntungan tanpa membelakangkan budaya, tatasusila dan kehidupan masyarakat di Malaysia.

''Kita ingin melihat penggunaan bahasa Melayu yang seragam, berhemah dan bermartabat. Bukan bahasa rojak,'' tegasnya. Di samping itu, panel tersebut juga mencadangkan kepada Menteri Penerangan supaya siaran swasta ada unsur-unsur membina, jangan hanya mementingkan keuntungan tanpa mengambil kira kepentingan bahasa.

''Dalam bidang tugas Panel Penasihat Penyiaran, kita juga berhadapan dengan permasalahan bahasa yang disalahgunakan, yang kita dapati jika tidak diawasi dan diperbetulkan, mungkin membawa kepada satu budaya yang sangat merendahkan martabat bahasa kita,'' katanya.

Tiga aspek permasalahan itu ialah bahasa siaran yang mencampuradukkan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris, penenggelaman bahasa Melayu dalam sistem pendidikan swasta dan ketidakseragaman bahasa penyiaran.

Gejala mencampuradukkan bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris merupakan gejala paling baru dalam penyiaran, katanya.

''Dalam setiap ayat seorang eksekutif sekarang, kita dapati mesti ada mengandungi - kalau tidak separuh, suku - kata-kata Inggeris yang dicampurkan dengan bahasa kita. Ini sudah begitu automatis sehinggakan ia merupakan budaya baru bangsa Melayu bercakap separuh Melayu, separuh Inggeris.

''Sungguhpun perkara itu pada pandangan asasnya tidak ada apa-apa (salah), tetapi anak akan mengikut, murid akan mengikut, akhirnya bahasa Melayu sudah tidak ada - yang ada ialah bahasa rojak, bahasa campuran,'' jelasnya.

Keadaan ini kata beliau, akan menggagalkan usaha mewujudkan bahasa baku dan menggagalkan usaha untuk memartabatkan bahasa Melayu.

Beliau juga menyatakan bahasa Melayu tenggelam dalam arus pendidikan swasta kerana institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) tidak menjadikan ia sebagai bahasa pengantar.

''Daripada 400 buah IPTS sekarang misalnya, kita dapati hanya lebih kurang lima peratus pelajarnya adalah pelajar Melayu. Mungkin sebab inilah mereka (IPTS) menyatakan tidak payah belajar Bahasa Melayu dan bahasa Melayu tidak perlu menjadi bahasa pengantar.''

Sedangkan, kata beliau, kedudukan bahasa Melayu di institusi pengajian tinggi, waima IPTS, sebagai bahasa pengajaran atau penggunaannya sebagai bahasa pengantar, adalah jelas.

Panel itu juga mahu supaya satu bahasa seragam digunakan oleh para penyiar. Pada masa sekarang, penyiaran awam yang dipegang oleh RTM menggunakan bahasa Melayu biasa iaitu bahasa Melayu Riau; sebaliknya penyiaran swasta seperti TV3 ''bercakap seolah-olah kita berada di Indonesia.''

Mahu tidak mahu, katanya, ini sudah menjadi kenyataan. Dengan itu kita mendapati ada dua jenis saluran bahasa Melayu digunakan dalam media elektronik.

''Ini tidak seharusnya berlaku sebab dalam membina bangsa dan negara, bahasa kita hanya perlu satu dari segi guna, tatabahasa dan nahu yang kita pakai. Tidak boleh satu, tidak boleh ada tiga,'' tegasnya.

''Oleh itu, kita (panel) menyarankan sekali gus kerajaan mesti mewujudkan keseragaman bahasa - sama ada Melayu Riau atau baku - tidak penting, tetapi hendaklah satu.''

Namun dalam penggunaan bahasa baku, pihak berkuasa katanya, harus menentukan supaya penggunaan bahasa baku itu ''janganlah nampak sangat kita meniru Indonesia kerana kita mempunyai identiti kita sendiri''.

''Penyeragaman bahasa siaran ini adalah untuk mengelakkan orang ramai keliru yang mana satu lidah rasmi. Itu sebenarnya yang kita hendak pertahankan.''

Bagaimanapun, ujar Dr. Rais, penyeragaman ini tidak melibatkan penggunaan loghat. ''Loghat tidak apa, tetapi apabila sampai kepada penggunaan bahasa rasmi, yakni menggunakan hebahan berita, rencana, ulasan waima celoteh deejay sekalipun - kalau saluran itu saluran kebangsaan - kalau saluran Melayu, mesti gunakan bahasa Melayu yang betul, jangan guna 'bahasa Melayu act'.''

Istilah 'bahasa Melayu act' digunakan oleh anak-anak muda untuk percakapan yang mencampuradukkan bahasa Melayu dan Inggeris, tanpa mengira nahu bahasa tersebut. ''Istilah ini saya fikir tidak betul,'' kata Dr. Rais, ''tetapi telah pun digunakan, jadi saya pinjam.''

Begitu juga penggunaan 'I' dan 'you' dalam bahasa harian yang sudah begitu lumrah. Perkara ini sukar diungkit, kata beliau, memandangkan ''menteri pun sudah bercakap demikian, inikan pulak orang di bawah...''

Tegas beliau, tugas panel tersebut bukan mudah; tambahan pula mereka mempunyai ramai pengkritik.

''Ada orang yang berkata bahasa adalah perantaraan komunikasi, jadi kalau ia berubah-ubah, tak apalah. Sebut sedap... tetapi kalau awak Melayu, hendaklah cakap Melayu.

''Orang Tionghua terus bercakap Mandarin, tanpa mencampuradukkannya dengan bahasa lain. Begitu juga bahasa Tamil, bahkan perkataan asing 'ditamilkan' sebelum digunakan dalam bahasa mereka. Kita orang Melayu terlampau mudah menerima perkataan asing, digunakan seolah-olah perkataan kita.

''Menggunakan perkataan asing pada pandangan panel tidak begitu berat, memang kita guna kerana bahasa kita berkembang, tetapi perkataan itu mesti 'dimelayukan'. Setelah dimelayukan baru kita guna mengikut tatabahasa Melayu.''

Menurut Dr. Rais, dalam usaha memantapkan penggunaan bahasa Melayu itu, pihak panel telah memutuskan supaya setiap pemimpin bercakap bahasa Melayu dengan betul dan tugas membuat alur aturnya telah diserahkan kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

''Kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi ini sudah jelas dimaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan tetapi kalaulah bahasa rasmi tersebut 'sekerat ular, sekerat belut' itu amat mendukacitakan,'' katanya.

Sebab musabab berlakunya perkara ini barang kali banyak, kata beliau. Antaranya, mungkin disebabkan selama ini penumpuan penggunaan bahasa pada iklan, perniagaan atau drama tidak menjadi satu kepentingan berat kepada pihak berkuasa, maka tidak ada seorang pun yang menegur perkara itu selama ini.

''Setelah kita berjalan begitu jauh baru kita tengok, iaitu bangsa Melayu tidak lagi bercakap bahasanya dengan betul. Kita mesti perbetulkan keadaan ini,'' tegasnya.

Sehubungan itu, beliau mengalu-alukan kenyataan Menteri Pendidikan baru-baru ini yang menyatakan kabinet sudah mengeluarkan arahan supaya menteri-menterinya menggunakan bahasa Melayu dalam menyampaikan dasar kerajaan. Ini merupakan lanjutan kepada apa yang disyorkan oleh panel berkenaan.

''Arahan ini baik. Kecenderungan sekarang, menteri atau pemimpin bukan Melayu tidak mahu bercakap Melayu, terus bercakap bahasa Inggeris dalam ruang berita. Kita harus haramkan ini.

''Kalau dia nak menyampaikan sesuatu berita, dan dia bercakap sebagai menteri kerajaan Malaysia, dia mesti bercakap Melayu. Betul tak betul, itu soal kemudian. Bercakap dahulu,'' tegas beliau.

Berbeza dalam dunia pengiklanan, katanya. Panel menerima hakikat bahawa kumpulan itu mempunyai 'lesen' menggunakan bahasa iklan. Malah penggunaan yang tidak ada dalam kamus juga dibenarkan.

''Ini kerana disedari kalau hendak menggunakan bahasa yang betul, iklan itu mungkin tidak dibaca orang kerana terlalu panjang. Perkara ini tidak menjadi kontroversi.

''Kontroversi yang sangat-sangat kita tekankan supaya diatasi ialah penggunaan bahasa rojak, yang boleh menjadi sangat mudarat,'' tambahnya.

Sehubungan itu, pihak panel telah menyuarakan agar pihak sekolah menyemarakkan program di mana anak-anak diajar bertutur lancar dan baik menggunakan bahasa Melayu menerusi syarahan atau proklameran sajak atau drama dan memasukkan aspek-aspek penilaian bahasa yang baik.

''Selain itu, didapati sekolah-sekolah sekarang ini yang mempunyai pengajaran bahasa Melayu, tidak lagi mengajarkan penggunaan bahasa yang indah, pepatah petitih sudah luntur,'' katanya.

Ini tegas Dr. Rais, menunjukkan kita sudah lupa akan tunjang kita. ''Perkara-perkara itu harus diimbau kembali bagi dijadikan panduan untuk kita memartabatkan kembali bahasa Melayu.''

Menurut beliau, kelekaan orang Melayu mengejar perkara lain juga menyebabkan perkembangan bahasa Melayu dalam bidang sains dan teknologi berjalan terlalu perlahan.

''Puncanya dari hemah kita menilai diri sebagai orang Melayu. Kita dah lupa akan sifat diri peribadi kita sebagai orang Melayu.

''Oleh sebab itu, Melayu kini ialah 'Melayu hamburger'. Kita tidak balik-balik ke pangkal.

''Orang Jepun, walau macam mana maju pun, terus hormat dan membahasakan dirinya sebagai orang Jepun. Kalau orang Jepun, yang mempunyai skriptur yang sebegitu teruk, boleh melakukannya, mengapa kita tidak boleh,'' soal beliau.

Namun Dr. Rais menegaskan bahawa usaha memartabatkan bahasa Melayu ini sebenarnya mesti muncul daripada pemikiran pihak berkuasa (yakni kabinet).

Sekadar contoh, beliau memberitahu, walaupun dasar sudah dibuat pada 1990 supaya penghakiman dibuat dalam bahasa Melayu, penggunaan bahasa Melayu di Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan masih agak perlahan, malah boleh dikatakan hampir 75 peratus dijalankan dalam bahasa Inggeris.

''Kebanyakan peguam dan hakim di mahkamah-mahkamah itu tidak bercakap bahasa Melayu, kecuali pada pembukaan sahaja. Ini realiti.

''Barangkali, para hakim generasi baru lebih sesuai dan tepat untuk menggunakan bahasa Melayu kerana hakim sekarang, sebilangannya mewakili generasi lama, masih telor bercakap Melayu,'' tegasnya.

Dalam masyarakat berbilang bangsa, keupayaan masyarakat hidup harmoni dalam sebuah negara merupakan satu aset penting kepada pembangunan negara berkenaan. Malaysia seringkali dijadikan oleh masyarakat dunia sebagai negara yang mampu hidup dengan aman dan harmoni sekalipun mempunyai pelbagai bangsa.

Kita juga sering bercakap tentang mewujudkan satu 'bangsa Malaysia'. Namun bagaimanakah bentuk bahasa Malaysia nanti - apakah bahasa Melayu rojak yang digunakan sekarang ini adalah 'bahasa bangsa Malaysia' kurun ke-21? Ingatlah, bahasa itu bangsa.

BAHAN BACAAN 3
DBP kecewa 'bahasa rojak' diamal terbuka, termasuk majlis rasmi

KUALA LUMPUR:  Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) hari ini menyuarakan rasa kecewa kerana masyarakat Malaysia masih gagal menghargai dan menghormati Bahasa Melayu, berdasarkan kepada meluasnya penggunaan bahasa rojak termasuk di media massa dan majlis rasmi.

Ketua Pengarahnya Datuk Dr Firdaus Abdullah berkata rakyat berbilang kaum dalam sebuah negara yang merdeka hampir 50 tahun, masih bersikap tidak acuh terhadap kewibawaan bahasa kebangsaan sehingga membolehkan bahasa rojak mudah meresap masuk.

"Paling mengecewakan ialah kini penggunaan bahasa rojak digunakan secara terbuka dan meluas di majlis rasmi, papan tanda, iklan, poster, televisyen dan saluran lain. Ia dapat dilihat dengan mudah di merata-rata tempat," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Katanya DBP yang seusia dengan Malaysia cuba menjalankan pelbagai aktiviti memartabatkan dan memperkasakan Bahasa Melayu, namun segelintir masyarakat masih gagal mengamalkan penggunaan bahasa yang betul dan tepat.

"DBP melaksanakan pelbagai aktiviti membudayakan Bahasa Melayu di kalangan masyarakat dengan menerapkan elemen-elemen seperti penjiwaan dan pengisian bahawa kebangsaan itu," katanya.

Firdaus berkata semenjak awal penubuhannya DBP memberi perhatian utama kepada usaha memperkasakan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan kebangsaan sebagaimana termaktub dalam peruntukan 152 Perlembagaan Persekutuan, tetapi masih kurang berkesan.

Sehubungan itu katanya beliau berharap pindaan kepada peruntukan Akta Dewan Bahasa Dan Pustaka yang akan diluluskan tidak lama lagi, akan dapat memberi kuasa kepada DBP untuk menguatkuasakan penggunaan Bahasa Melayu yang betul.

"Melalui akta itu, ia menghendaki setiap orang menggunakan Bahasa Melayu dengan tatabahasa yang betul, dan dari aspek psikologi memberi kesedaran kepada orang ramai untuk mematuhi dan mengamalkan penggunaan yang betul serta tepat," katanya.

Beliau berharap orang ramai yang prihatin dengan kewibawaan Bahasa Kebangsaan supaya memberi kerjasama untuk menyalurkan maklumat mengenai penyalahgunaan Bahasa Melayu kepada pihak DBP untuk tindakan. BERNAMA



Uthaya Sankar SB merupakan seorang sasterawan yang berkarya dalam Bahasa Malaysia. Buku terbarunya, Kathakali: Kumpulan Cerpen Bahasa Malaysia (2009). Uthaya adalah pengasas Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) yang aktif mengendalikan pelbagai aktiviti bahasa, sastera, seni dan budaya.


BAHAN BACAAN 4
Jangan lupakan bahasa kita, Bahasa Malaysia

Sejak Datuk Seri memegang jawatan Perdana Menteri pada April lalu, saya mengikuti perkembangan Datuk Seri melalui media elektronik, media cetak dan laman sesawang www.1malaysia.com.my.

Hasil daripada pemerhatian saya, ada sesuatu yang hilang, tertinggal atau terlupa diberi perhatian oleh Datuk Seri sejak bergelar Perdana Menteri.

Perkara yang saya maksudkan adalah perihal Bahasa Malaysia. Tidak, saya bukan bercakap mengenai subjek Sains dan Matematik, atau mengenai syarat wajib lulus subjek Bahasa Inggeris.

Sebaliknya saya merujuk pada penggunaan istilah “Bahasa Malaysia” itu sendiri yang saya percaya merupakan salah satu komponen penting dalam merealisasikan konsep/gagasan “Satu Malaysia”.

Mungkin Datuk Seri sudah lupa mengenai isu itu yang hangat sepuluh tahun lalu.   Mungkin Datuk Seri sudah lupa bahawa pada tahun 1999, sewaktu Datuk Seri menjadi Menteri Pelajaran, wartawan pernah meminta komen Datuk Seri berhubung diskriminasi terhadap istilah berkenaan apabila merujuk pada Bahasa Kebangsaan.

Datuk Seri pernah berkata – dan ini dilaporkan di akhbar pada tahun 1999 – bahawa pengunaan istilah ini adalah amat sesuai dalam konteks negara Malaysia.

Mungkin Datuk Seri tidak sedar bahawa sebenarnya sehingga hari ini masih ada diskriminasi terhadap penggunaan dan pengguna istilah “Bahasa Malaysia” – suatu istilah yang diperkenalkan melalui Dasar Pelajaran Kebangsaan pada tahun 1970 bersama-sama Rukun Negara dan Rukun Tetangga berikutan peristiwa hitam 13 Mei 1969.

Mungkin tidak sampai kepada pengetahuan Datuk Seri bahawa golongan yang menggunakan istilah berkenaan diberi pelbagai label negatif yang sengaja dicipta oleh kelompok yang tidak bertanggungjawab.

Tidak mustahil ada pihak yang menganggap isu ini sebagai perkara remeh-temeh yang tidak perlu diberi perhatian; apatah lagi oleh seorang Perdana Menteri yang tentu sahaja ada pelbagai perkara penting untuk difikirkan.

Bagaimanapun, bagi saya sebagai seorang rakyat biasa, perkara yang mungkin dianggap remeh itu tetap membawa makna dan kesan besar.

Masihkah Datuk Seri ingat bahawa pada akhir April 2007, Kabinet memutuskan bahawa istilah “Bahasa Malaysia” perlu digunakan secara rasmi apabila merujuk pada Bahasa Kebangsaan?

Keputusan itu dilaporkan secara meluas di akhbar Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Bahasa Tamil dan Bahasa Mandarin bermula awal Jun 2007.

Pada waktu itu, Datuk Seri yang bergelar Timbalan Perdana Menteri turut tampil membuat pelbagai kenyataan yang menyokong penggunaan istilah itu.  Saya masih menyimpan keratan-keratan akhbar pelbagai bahasa sejak tahun 1999 berhubung isu hak penggunaan ini.

Datuk Seri tentu sudah dapat membayangkan bahawa saya adalah pencinta dan pejuang Bahasa Malaysia.  Malah, saya pernah memberitahu seorang wartawan sebuah akhbar Bahasa Inggeris baru-baru ini bahawa sekiranya hak ini dinafikan oleh Kerajaan Malaysia, saya tidak akan teragak-agak untuk melepaskan kerakyatan saya.

Kebimbangan saya adalah berasas kerana terdapat usaha-usaha berterusan oleh pihak tertentu untuk menafikan hak penggunaan dan hak pengguna istilah “Bahasa Malaysia” di negara ini.

Apa yang lebih menyedihkan adalah bahawa Datuk Seri yang sebelum ini pernah lantang bersuara menyokong penggunaan istilah berkenaan, saya perhatikan sudah senyap dan menyepi sejak memegang jawatan Perdana Menteri.

Dalam kesibukan Datuk Seri mempelopori konsep/gagasan “Satu Malaysia”, apakah Datuk Seri sudah lupa bahawa Bahasa Malaysia juga aspek yang amat penting dalam pembinaan Bangsa Malaysia?

Saya percaya, Tunku Abdul Rahman menyedari hakikat itu sewaktu memperkenalkan istilah “Bahasa Malaysia” pada tahun 1970.

Mungkin Datuk Seri pula kurang menyedari hakikat itu atau kurang memberi perhatian terhadap perkara itu dalam tempoh 100 hari pertama menjadi Perdana Menteri.

Harapan saya adalah bahawa dalam tempoh 100 hari akan datang, Datuk Seri akan turut memperkasakan penggunaan istilah “Bahasa Malaysia” dalam menjayakan gagasan “Satu Malaysia”.

Kalau Datuk Seri sendiri tidak memberi perhatian terhadap perkara ini, siapa lagi yang boleh saya harapkan?

Tiada ulasan:

BLOG BAHASA MELAYU SMKUH