06 Ogos 2010

Pembuangan Bayi

Isu semasa yang perlu diberi perhatian oleh pelajar


BAHAN BACAAN 1
Menangani gejala sosial generasi muda
Oleh HASBULLAH MAT DAUD

BERITA pembuangan bayi yang dipercayai baru dilahirkan ditemui di depan tempat tumpuan awam bukanlah isu baru. Isu ini kembali mendapat tempat di beberapa media massa setelah lama tidak kedengaran kes-kes sedemikian rupa.

Apa yang membimbangkan ialah bilangan kes pembuangan bayi di kalangan wanita remaja semakin meningkat, malah ia sangat meruncing sejak akhir-akhir ini.

Perbuatan membuang bayi yang baru lahir dalam apa keadaan sekalipun dan ia mengakibatkan kematian bayi tersebut sebenarnya adalah pembunuhan.

Sesiapa sahaja yang membuang bayi itu atau terlibat dengan perbuatan tersebut adalah melakukan pembunuhan dan salah dari segi agama dan tindakan undang-undang akan diambil.

Kejadian yang semakin bercelaru dan menjajah pemikiran golongan generasi muda ini dibimbangi akan terbawa-bawa kepada peningkatan jenayah di peringkat yang lebih serius seiring dengan usia mereka.

Mengikut undang-undang, Seksyen 302 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman mati ke atas pesalah jika disabitkan kesalahan membunuh. Selain itu, pasangan lelaki juga harus disabitkan kesalahan.


Dengan dunia serba moden, kemungkinan untuk mengenal pasti lelaki yang berzina dengan seorang wanita sehingga hamil kini boleh ditentukan melalui ujian DNA.

Ujian DNA adalah satu kaedah menentukan siapakah bapa biologi seseorang bayi melalui kajian terhadap contoh tisu dan darah individu yang terbabit.

Melihat kepada senario pada hari ini, jenayah yang merupakan implikasi dari keruntuhan jiwa dan akhlak akan menyebabkan terlahirnya masyarakat yang melanggar norma-norma agama dan masyarakat itu sendiri. Masalah jenayah pembuangan bayi harus ditangani segera sebelum ia merebak menjadi masalah sosial dalam masyarakat.

Menurut Hall (1904), remaja adalah masa yang penuh dengan kekeliruan, kesedihan dan konflik. Oleh itu, adalah penting bagi orang dewasa khususnya ibu bapa, pendidik dan ahli masyarakat untuk mengikuti perkembangan remaja.

Mereka wajar membantu remaja agar mengelakkan diri daripada terjebak dengan kegiatan yang negatif.

Masyarakat harus sedar bahawa masalah sosial adalah masalah kita bersama dan memerlukan penyelesaian yang bersepadu dan terancang. Ia memerlukan strategi menanganinya melalui pelbagai pendekatan secara proaktif termasuk pendekatan keagamaan yang merupakan tunjang kerohanian bagi setiap individu

Apa yang pasti, pentingnya pegangan agama dan nilai kerohanian dalam kehidupan manusia tidak dapat disangkal lagi. Agama memainkan peranan penting untuk memandu ahli masyarakat agar bertingkah laku sesuai dengan nilai, norma dan pertimbangan rasional kebanyakan ahli masyarakat.

Menurut Prof. Dr. Sidek Baba, pendidikan iman dan akhlak pada prinsipnya berasaskan kepada dua faktor yang saling berhubung iaitu faktor qudwah atau teladan dan pengaruh persekitaran. Ini kerana antara naluri dan kecenderungan utama anak dalam proses pembelajaran ialah keinginan untuk meniru, mencontohi dan meneladani.

Inilah sebabnya maka setiap anak memerlukan contoh teladan, 'role-model', 'mentor' dan qudwah supaya kebaikan dan kehebatan contoh berkaitan dapat diikuti dan dihayati dalam kehidupannya pula.

Dan ibu bapa adalah model awal dan utama dalam pembentukan iman dan akhlak anak. Bagi membolehkan ibu bapa mendidik dengan sempurna, mereka perlu berupaya serta menjadi qudwah yang terbaik.

Selain itu, ibu bapa harus bijak menimbulkan persekitaran kekeluargaan dan teknik keibubapaan yang sihat dan cemerlang dan mempraktikkan nilai nilai keagamaan dalam kehidupan seharian dalam membentuk keluarga harmoni.

Sekiranya mengabaikan dan tidak peduli pada perilaku dan akhlak remaja, maka dengan sendirinya akan lahirlah remaja bermasalah.

Sebagai contoh, Rasulullah SAW telah menunjukkan bahawa golongan yang menjadi fokus dan sasaran utama sejarah pembinaan akhlak dan budi pekerti adalah golongan remaja atau muda-mudi.

Kita harus sedar dan yakin bahawa cara tindakan menyelesaikan masalah mengikut pendekatan agama lebih berkesan dan berterusan memberikan ketenangan kepada golongan remaja berbanding dengan cara tindakan umum atau tidak menggunakan pendekatan agama. Pada masa yang sama, pendekatan kaunseling dan nasihat perlu juga bergerak seiring supaya nilai-nilai keagamaan sentiasa subur di sanubari anak-anak remaja.

Hakikatnya, segenap lapisan masyarakat harus bersatu padu dan mengaplikasikan pelbagai pendekatan dalam menyelesai masalah gejala sosial ini. Setiap individu termasuk ibu bapa perlu peka dan memainkan peranan khususnya dalam memastikan anak-anak tidak terjebak dengan gejala sosial yang merosakkan masa depan mereka.

Cabaran menangani gejala sosial terutama yang melibatkan pembuangan bayi semestinya diberi perhatian yang lebih besar dan memandang serius masalah ini. Justeru, sesuatu perlu dilakukan sebelum ia menjadi penyakit sosial yang sukar diubati.


BAHAN BACAAN 2
Pergaulan bebas punca hubungan seks, buang bayi
Oleh SUFFIAN ABU BAKAR
pengarang@utusan.com.my

KEMPEN Kami Prihatin sudah dilancarkan Khamis lalu di tempat awam iaitu KL Sentral, Kuala Lumpur. Ramai yang datang memberi sokongan. Kebetulan kempen berlangsung waktu petang ketika pusat perkhidmatan pengangkutan awam LRT, komuter, kereta api, ERL dan bas itu sesak dengan orang ramai. Kempen Kami Prihatin dianjurkan oleh Utusan Malaysia dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Asto dan Karyawan adalah untuk menyedarkan masyarakat tentang gejala buang bayi dan penderaan kanak-kanak yang semakin serius. Sejak kempen Kami Prihatin digerakkan, kurang kita membaca laporan tentang penderaan dan pembuangan bayi. Kali terakhir ialah pada 30 Mac lalu apabila tiga lagi kes buang bayi berlaku.

Kes pertama, penemuan janin bayi di hadapan sebuah tokong di Jinjang, Kuala Lumpur, diikuti kes seorang bayi ditinggalkan kepada seorang wanita di Ipoh, Perak dan mayat bayi tersangkut di Sungai Pasir di Kuantan, Pahang. Apa sudah jadi dengan segelintir masyarakat di negara ini? Begitu mudah anugerah Tuhan itu diperlakukan seperti sampah, dibuang apabila kehadirannya tidak diperlukan. Pelbagai cadangan disuarakan, antaranya saranan supaya masyarakat dididik melalui media, elak daripada menghina wanita yang hamil anak luar nikah dan empat kaedah iaitu advokasi, pencegahan, sokongan dan penyelidikan untuk menangani gejala sosial ini. Semua usaha ini menggambarkan masyarakat kini sudah tidak tahan lagi melihat kes-kes penderaan kanak-kanak dan pembuangan bayi. Cukuplah kita sedih membaca kisah kematian adik Syafiah Humairah Sahari dan penemuan mayat bayi dengan tangannya digonggong anjing.

Apa yang tidak kena dengan institusi kekeluargaan ketika ini? Penulis ingin mengambil contoh kes seorang remaja perempuan yang baru berusia 15 tahun melarikan diri mengikut teman lelakinya. Remaja perempuan ini dikatakan pelajar cemerlang sudah berkeras untuk berkahwin dengan teman lelakinya, walaupun dia masih di bawah umur. Dia juga tidak mahu pulang ke pangkuan keluarga dan bertekad untuk meneruskan bahtera hidupnya dengan teman lelakinya. Cuba kita bayangkan apa akan berlaku jika niat remaja ini untuk berkahwin terus ditentang. Dalam zaman serba moden ini, teknologi canggih seperti Internet dan telefon bimbit tidak dapat menghalang pasangan remaja daripada mengatur temu janji. Remaja yang ada sekarang bukan seperti remaja suatu ketika dulu. Jika dulu, umur 15 tahun sudah berkahwin dan mampu menguruskan rumah tangga. Mereka juga tidak bergaul terlalu bebas dan tiada kemudahan teknologi yang canggih untuk bertemu secara sulit.

Remaja kini lebih terbuka. Sering didedahkan dengan pengaruh yang tidak sihat oleh budaya Barat. Tanyalah remaja perempuan atau lelaki yang baru memasuki sekolah menengah. Adakah mereka tahu apa itu video lucah. Sudah tentu ada di antara mereka yang akan menyatakan ya. Kita tidak boleh menghalang semua ini, kerana inilah generasi remaja yang ada sekarang di negara kita. Perlu diingat - bukan semua, tetapi hanya segelintir. Apa yang boleh dilakukan adalah masyarakat perlu mendidik anak-anak masing-masing supaya tahu baik buruknya pergaulan bebas tanpa batasan. Tidak salah jika ibu bapa mengajar pendidikan seks kepada anak masing-masing. Tidak perlulah dibebankan kepada guru-guru untuk mengajar di sekolah. Pendidikan seks kepada remaja amat penting. Mereka perlu tahu apa langkah yang perlu atau tidak perlu dilakukan. Mereka perlu diajar mengawal nafsu seks.

Apa yang ingin dijelaskan di sini, jika institusi keluarga itu kukuh, ibu bapa sentiasa berdamping dan mengambil berat tentang anak-anak, sedikit sebanyak ia akan membantu mengurangkan pergaulan bebas. Pergaulan bebas dan tanpa didikan oleh ibu bapa, menyebabkan remaja mudah terjebak dalam gejala sosial. Sekali terjebak, di situlah mudahnya berlaku persetubuhan haram dan hamil luar nikah. Jika gadis mengandung, maka akan berlaku pula kes pembuangan bayi. Dan jika bayi itu dipelihara, tidak mustahil dia akan menjadi mangsa penderaan pula. Kita tahu di mana punca masalah ini, jadi hindarinya daripada awal.


BAHAN BACAAN 3
Dewan Rakyat: Selangor Catat Kes Pembuangan Bayi Dan Dera Kanak-kanak Tertinggi

KUALA LUMPUR, 7 April (Bernama) -- Selangor mencatatkan jumlah kes pembuangan bayi dan penderaan kanak-kanak tertinggi di negara ini, sejak lima tahun lepas bermula 2005, Persidangan Dewan Rakyat diberitahu Rabu. Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata mengikut statistik Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Selangor mencatatkan 105 kes pembuangan bayi manakala statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pula merekodkan 3,234 kes penderaan kanak-kanak. "Secara keseluruhannya, 407 kes direkodkan berkaitan pembuangan bayi dan 10,758 kes penderaan kanak-kanak dan bayi dicatatkan sejak lima tahun lalu," katanya. Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Ismail Abdul Muttalib (BN-Maran) yang ingin tahu jumlah kes pembuangan bagi dan penderaan bayi bagi tempoh 2005-2010 mengikut negeri dan sebab kejadian tersebut berlaku serta tindakan kerajaan dalam menangani gejala tersebut.

Selain Selangor, Johor mencatatkan 83 kes pembuangan bayi, Sabah (65), Sarawak (34), Negeri Sembilan (24), Pulau Pinang (22), Perak (19), Pahang dan Kedah (17), Kelantan (10), Terengganu (5), Melaka (3), Kuala Lumpur (2) dan Perlis (1). Bagi kes penderaan kanak-kanak dan bayi, selepas Selangor, Kuala Lumpur mencatatkan jumlah kes kedua tertinggi iaitu 2,221 kes, Pulau Pinang (891), Perak (861), Negeri Sembilan (799), Johor (599), Pahang dan Sarawak (440), Kedah (420), Melaka (301), Perlis (245), Terengganu (168), Kelantan (105) dan Sabah (34). Shahrizat berkata antara punca berlakunya masalah pembuangan bayi apabila mangsa, wanita hamil luar nikah berasa takut dan malu kerana tidak mendapat sokongan keluarga, khuatir dihukum sekiranya masyarakat umum mengetahuinya dan bayi yang dilahirkan cacat.

Kurang pendidikan agama, tiada pengetahuan mengenai khidmat bantuan sokongan seperti khidmat kaunseling dan perkhidmatan perlindungan untuk diri dan anak, bapa kepada bayi yang dilahirkan ghaib dan tidak mahu bertanggungjawab selain wanita pendatang asing tanpa izin takut diusir apabila meminta pertolongan, katanya. "Bagi kes penderaan kanak-kanak, antara sebab berlaku kejadian tersebut termasuklah kerana kanak-kanak dan bayi terlalu aktif selain masalah yang dihadapi ibu bapa berkaitan tekanan tempat kerja, kewangan, krisis rumah tangga dan kurang pendidikan agama," katanya. Shahrizat berkata tindakan kerajaan bagi menangani masalah ibu muda yang bermasalah serta usaha membendung pembuangan bayi termasuklah menyediakan pusat perlindungan bagi kanak-kanak dan wanita. "Kementerian mempunyai 55 institusi kebajikan, 104 pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah, 53 Klinik Nur Sejahtera yang sedia menerima bayi-bayi yang memerlukan perlindungan dan empat Taman Seri Puteri serta Pusat Jagaan Sinar Kasih," katanya.

BAHAN BACAAN 4
Empat strategi tangani isu pembuangan bayi
28/03/2010 5:41pm


PETALING JAYA 28 Mac — Empat strategi — advokasi, pencegahan, sokongan dan penyelidikan akan digunapakai bagi menangani isu pembuangan bayi yang dilaporkan berleluasa sejak kebelakangan ini, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil. Beliau berkata, kementerian akan mengadakan perbincangan dengan semua agensi yang terlibat bagi melaksanakan strategi itu dalam isu pembuangan bayi. "Advokasi tentang institusi keluarga diperlukan untuk mengatasi pengabaian, penderaan dan pembuangan kanak-kanak dan perbuatan tersebut dianggap sudah bukan lagi budaya rakyat Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri “Karnival Utamakan Keluarga : Sehati, Sejiwa Untuk Keluarga” di sini, hari ini.

Katanya, strategi pencegahan juga perlu bagi memberikan kefahaman terhadap ilmu agama dan kesan terhadap seks bebas. Beliau berkata, satu mekanisme perlu diwujudkan bagi mengetengahkan kurikulum kepada semua remaja perempuan terhadap hubungan intim dan kesannya secara ilmiah. Shahrizat turut menasihati golongan muda supaya mendalami ilmu dan berpegang kepada ajaran agama supaya tidak terus hanyut dengan nafsu muda. – Bernama



Tiada ulasan:

BLOG BAHASA MELAYU SMKUH