14 Mei 2010

Kejayaan Pasti Menjelma

Coretan ini khusus untuk pelajar-pelajar yang akan menduduki STPM 2010

Saya ingin mengucapkan "Selamat Menduduki STPM" dan "Semoga Berjaya".

Setiap orang daripada kita memang mempunyai harapan dan impian untuk menjadi orang yang berjaya tanpa mengira siapa pun diri kita. Kejayaan adalah hak milik setiap insan. Saya percaya sebagai pelajar PraUniversiti, anda sekalian sudah pasti bercita-cita untuk menjejakkan kaki ke menara gading. Namun, segalanya bukan mudah kerana perlukan usaha dan kegigihan daripada diri anda sendiri.



Silap percaturan maka musnahlah harapan dan berkecailah impian. Bukan impian anda sahaja tetapi impian ayah bonda, guru-guru dan rakan-rakan yang menyayangi dan mengasihi anda. Sudah tertulis dalam kamus pujangga bahawa tiada manusia yang bodoh di dunia yang fana ini. Manusia yang gagal ialah manusia yang malas dan tidak mahu belajar. Cikgu yakin anda semua bukannya insan-insan yang sebegitu. Apabila tiba saat itu nanti, gunakanlah segala ilmu, teknik, strategi dan segalanya yang diajar selama ini untuk menjawap apa-apa sahaja soalan peperiksaan yang dihadapi. Ingat, jangan menyerah kalah. Jika sukar soalan itu, tutuplah mata, sebutlah nama ayah, ibu dan guru, panjatkan doa seketika kepada Tuhan yang satu, kesukaran itu pasti akan dapat diselesaikan, dan kejayaan akan menjelma untukmu. Yakinlah pada diri kerana hanya orang yang yakin sahaja akan mampu mengubah nasibnya.

Dari,
Cikgu Baharudin

Tiada ulasan:

BLOG BAHASA MELAYU SMKUH