20 September 2012

TIPS KARANGAN


Masalah Karangan Pelajar-pelajar Pra-U
Berbanding mata pelajaran lain, mata pelajaran Bahasa Melayu, khasnya Kertas 2 untuk pelajar PraU SR dan Bahagian C untuk pelajar PraU JR agak sukar untuk diulang kaji. Pandangan saya ini berdasarkan pemerhatian dan hasil perbualan dengan para pelajar. Terdapat sebilangan pelajar tidak atau sangat kurang mengulang kaji mata pelajaran ini, khususnya bahagian karangan ini.


Apa yang hendak diulang kaji cikgu ?

Saya kerap mendengar jawapan sebegini. Jawapan pelajar seperti di atas memberi gambaran tentang kekaburan mereka. Berbanding bahagian lain, jelas skop pelajarannya dan pelajar mengetahui tajuk/subtajuk yang perlu diulang kaji. Pada pandangan cikgu, bahagian karangan ini mementingkan penguasaan kemahiran. Oleh itu, calon digalakkan mengulangkaji perkara-perkara berkaitan kemahiran tersebut.

Antara kemahiran yang perlu dikuasai oleh pelajar ialah :

1. Kemahiran memahami isu dan kehendak soalan.
2. Kemahiran mencari idea / isi yang menepati kehendak soalan.
3. Kemahiran membina perenggan pendahuluan, isi sokongan dan kesimpulan yang menepati strukturnya.
4. Kemahiran menghurai / mengolah isi.
5. Kemahiran membina ayat yang betul.

Saya cuba menyenaraikan beberapa kelemahan yang biasa dalam kalangan pelajar mengikut bahagian dan cadangan untuk mengatasinya.

1. Masalah mengemukakan isi-isi yang relevan dengan kehendak soalan.
Ramai calon agak sukar mengemukakan isi yang relevan dengan isu dan kehendak soalan. Masalah ini berpunca daripada penguasaan calon terhadap sesuatu isu sangat terhad akibat daripada kurangnya pembacaan. Membaca rangka-rangka karangan yang terdapat dalam buku-buku rujukan merupakan cara yang agak pantas untuk menguasai sesuatu isu dengan banyak dalam masa yang agak singkat. Anda juga boleh menjadikan akhbar sebagai bahan bacaan harian kerana apa-apa sahaja maklumat berkemungkinan boleh digunakan semasa menjawab soalan karangan. Rujuk juga cara dan kaedah mencari isi yang terdapat dalam blog cikgu sebagai panduan. Ada pelajar yang cuba menjangakan soalan yang akan keluar. Tindakan ini tidak salah, tetapi adalah lebih baik anda menguasai kemahiran-kemahiran yang perlu agar apa-apa juga isu yang keluar nanti boleh dijawab dengan agak baik.

2. Masalah menghurai isi-isi karangan.
Ada huraian perenggan isi sokongan pelajar yang tidak berkaitan dengan isi yang terkandung dalam ayat judul/ ayat topik. Berdasarkan pemerhatian dan penandaan latihan, saya mendapati mereka menghurai apa-apa sahaja yang mereka tahu dan tidak menjelaskan lebih lanjut isi yang dikemukakan.

Pastikan anda menghurai perkara-perkara yang berkaitan dengan isi yang telah anda kemukakan. Jangan sesekali menerangkan perkara-perkara lain yang tidak berkaitan dengan isi. Menurut kata ramai guru yang mempunyai kepakaran, perenggan isi yang baik menjawab persoalan ASiBiDiBaM (Apa, Siapa, Bila, Di mana, Bagaimana, Mengapa). Pada pandangan cikgu, tulislah apa-apapun asalkan ideanya memberi penjelasan lebih lanjut tentang isi yang telah anda kemukakan.

Contohnya, sekiranya anda memilih "sikap negatif pemandu" sebagai punca kemalangan, huraian anda mestilah berkisar tentang "sikap negatif" pemandu sahaja dan bukannya pada perkara-perkara lain seperti keadaan jalan raya, kenderaannya atau hal-hal lain yang tiada kaitan dengan "sikap". Seperkara lagi, huraian mestilah berbentuk khusus dan menjelaskan isi.

3. Masalah binaan ayat.
Binaan ayat yang lemah menyebabkan idea yang ingin anda sampaikan menjadi kabur dan sukar difahami oleh penanda. Ini antara masalah majoriti pelajar di sekolah. Yang agak menghairankan, mereka boleh membina ayat dengan baik dan dapat menjawab soalan berkaitan subtajuk Sintaksis dalam Bahasa Melayu Kertas 1 dengan baik. Sekiranya anda boleh mengaplikasikan pengetahuan tersebut semasa anda menulis (membina ayat), alangkah baiknya. Masalah ini agak sukar untuk dijawab, dan memerlukan kajian lanjut.

Salah satu cara untuk mengetahui sama ada binaan ayat anda betul atau tidak, ideanya jelas atau tidak adalah dengan membaca ayat tersebut secara berasingan, tanpa dikaitkan dengan ayat-ayat sebelumnya atau sesudahnya. Pastikan anda sendiri yang membuat ayat tersebut boleh mengesan subjeknya (unsur yang diterangkan) dan predikatnya (unsur yang menerangkan)


Saya cadangkan anda membina ayat yang pendek-pendek. Elakkan daripada membina ayat yang melebihi 15 patah perkataan. Ulangkajilah subtajuk Sintaksis dengan bersungguh-sungguh. Binaan ayat perlu dipelajari. Biasakanlah cara sebegini dan tinggalkan kebiasaan anda yang gemar menulis ayat yang meleret-leret.

Lihat contoh salah satu perenggan isi sokongan yang dibuat oleh salah seorang pelajar cikgu. Bolehkah anda meneka isu dan kehendak soalan berdasarkan contoh perenggan isi sokongan tersebut.

Kemalangan yang melibatkan pengangkutan awam berpunca daripada keadaan pengangkutan awam yang tidak selamat. Terdapat peralatan kenderaan tersebut yang tidak berfungsi dengan baik. Pemeriksaan oleh pihak PUSPAKOM mendapati kebanyakanan bas dan teksi yang diperiksa mempunyai masalah brek yang tidak boleh berfungsi dengan baik. Selain itu, lampu isyarat dan tayar kenderaan tersebut tidak di selenggara mengikut jadual. Kelemahan-kelemahan ini boleh mengundang mala petaka apabila kenderaan ini digunakan di jalan raya. Pemandu tidak dapat memberhentikan kenderaan mereka dengan cepat khususnya pada waktu hujan akibat permukaan jalan yang licin. Pengusaha bas ekspres masih menggunakan bas yang sudah berusia lebih 15 tahun untuk pejalanan yang jauh. Keadaan enjin yang sudah usang dan tidak diselenggara secara berkala boleh menyebabkan berlakunya kebakaran yang boleh menyebabkan kemalangan terjadi .

"Terlalu banyak memberi alasan tidak akan menghasilkan kecemerlangan dalam kehidupan. Fikir-fikirkalah" 

STPM BAHARU


Latihan Penggal 1
Salam sejahtera buat pelajar-pelajar saya 6JR. Untuk bahagian soalan objektif Bahasa Melayu Penggal 1 STPM Baharu, 2 tajuk akan ditanya iaitu tajuk Sejarah dan Perkembangan Bahasa Melayu dan tajuk Fonologi. Berbanding STPM Terminal, masa belajar dan mengulangkaji Sistem STPM Baharu agak terhad. Oleh itu, calon perlu menguasai kedua-dua tajuk dengan cepat. Jawablah seberapa banyak soalan berkaitan untuk menguji pemahaman kamu. Berdasarkan contoh soalan yang dikeluarkan Majlis Peperiksaan Malaysia, 12 daripada 20 soalan penggal 1 datangnya daripada tajuk Fonologi dan bakinya daripada tajuk Sejarah dan Perkembangan Bahasa Melayu.


TAJUK : FONOLOGI


STPM 2001

24 Dalam pengeluaran bunyi vokal bahasa Melayu, konsep sempit, separuh luas, dan luas dikaitkan dengan
A kedudukan lidah
B pergerakan lidah
C turun naik rahang
D bukaan rongga mulut


25 Perkataan yang manakah yang mengandungi bunyi konsonan sengauan akhir kata ?
I    Tebal
II   Makan
III Bumbung
IV Mengantuk

A I dan II
B I dan IV
C II dan III
D III dan IV


26 Antara kumpulan kata yang berikut, yang manakah yang mengandungi diftong ?
I    Halau , mulai , kuasa
II   Sepoi , tauliah , kuih
III Boikot, haiwan , aurat
IV Kerbau , rambai , sekoi
A I dan II
B I dan III
C II dan IV
D III dan IV


Semasa menghasilkan vokal ini . depan lidah diturunkan serendah-
rendahnya. Udara dari paru-paru dikeluarkan dan pita suara bergetar.

27 Vokal yang terhasil berdasarkan penyataan di atas terdapat dalam perkataan
A buluh
B milik
C bayar
D nenek

29 Kata yang manakah yang mengandungi penggunaan vokal [ e ] pepet dalam suku kata terbuka ?
I   Kenal
II  Sental
III Merak
IV Mengkal
A I dan III
B I dan IV
C II dan III
D IIdan IV


30 R dalam carta di atas ialah
A vokal depan luas
B vokal depan sempit
C vokal depan separuh luas
D vokal depan separuh sempit


Dalam kegelapan malam , kapal Titanic karam dilanda taufan lalu tenggelam 
ke dasar lautan.


31 Bunyi konsonan pada akhir perkataan yang bergaris dalam ayat di atas ialah
A sengauan gusi
B sengauan bibir
C sengauan lelangit keras
D sengauan lelangit lembut


STPM 2002


26 Antara yang berikut, yang manakah perkataan yang mengandungi bunyi yang dihasilkan dengan menyebut vokal depan luas dahulu, kemudian digeluncurkan kearah vokal belakang sempit?
A taut
B kain
C halau
D hairan


27 Antara yang berikut, yang manakah perkataan yang mengandungi bunyi letupan gigi-gusi?
A pari
B gari
C kari
D tari


                                                             · Bibir dibundarkan.
                                                             · Belakang lidah diangkat setinggi-tingginya.
                                                             · Udara keluar tanpa sekatan.

28 Bunyi yang dihasilkan berdasarkan keterangan di atas terdapat pada perkataan
A ubi, sayu
B saya, balik
C tolak,boleh
D nenek, empat


               Bahagian tengah lidah berada dalam keadaan biasa, tidak dinaikkkan atau diturunkan
               Buka rahang sederhana luas
               Keadaan bibir neutral
29 Huraian di atas menerangkan kedudukan alat pertuturan semasa menghasilkan bunyi vokal

A tengah
B depan luas
C depan separuh luas
D depan separuh sempit


30 Pilih pernyataan yang benar tentang bunyi diftong.
I    Terdapat unsur geluncuran
II   Kombinasi dua bunyi vokal
III Membentuk lebih daripada satu suku kata
IV Mempunyai dua puncak kelantangan
A I dan II
B I dan III
C II dan IV
D III dan IV

‘Kesesuaian dua huruf vokal membentuk dua suku kata pada kata dasar,
iaitu pasangan antara huruf vokal pada suku kata praakhir dengan suku 
kata akhir tertutup’

31 Pernyataan di atas merujuk kepada konsep
A susunan vokal
B keselarasan vokal
C penyesuaian dua huruf vokal
D penggabungan dua huruf vokal


Saya berharap Modul Latihan ini dipraktikkan oleh pelajar-pelajar saya.

19 September 2012

Teknik Menjawab BM1


Kedudukan KGND Orang Pertama, Kedua dan Ketiga dalam Ayat Pasif
Untuk menentukan kedudukan KGND orang pertama (KGND 1), KGND orang kedua (KGND 2) dan KGND orang ketiga 3 dalam ayat pasif, gunakan formula berikut :

1/2 KKP 3

Maksudnya, dalam ayat pasif KGND 1 dan KGND 2 mesti terletak di hadapan KKP, sementara KGND 3 (KGND 3) mesti terletak di belakang KKP.

Gunakan formula di atas dalam 2 soalan STPM 2003 di bawah ini:




42 Objek + kata ganti nama tunjuk + X + kata kerja pasif

X dalam rumus di atas boleh diisi dengan kata ganti nama diri
A orang ketiga sahaja
B orang kedua sahaja
C orang pertama sahaja
D orang pertama dan orang kedua



48 Antara yang berikut, yang manakah ayat pasif yang betul binaannya?

I    Pakaian ini belum kupakai.
II   Keputusan ini harus anda umumkan dengan segera.
III Maklumat yang disampaikan oleh kami adalah benar.
IV Kenderaan yang mereka tumpangi baru sahaja berlepas.

A I dan II
B I dan IV
C II dan III
D III dan IV

Cuba pula soalan STPM 2007 ini.


47. Yang manakah ayat pasif yang betul?

A Ucapan yang telah beliau sampaikan itu sungguh bernas.
B Gelas di atas meja itu adik saya pecahkan dengan tidak sengaja.
C Bersama-sama surat ini kukirimkan sekeping gambar tanda ingatan
D Perkara itu mereka hebohkan untuk mendapat perhatian pihak atasan.

Jadi kuncinya depan atau belakang KKP. Harap-harap boleh lebih memudahkan.

Teknik Menjawab BM1


BM 1 : Bilangan Morfem dalam Perkataan
Ramai juga yang masih keliru tentang bilangan morfem yang terkandung dalam sesuatu perkataan. Baiklah, saya cuba menghuraikannya. Secara ringkas, morfem terbahagi 2 iaitu morfem bebas (MB) dan morfem terikat (MT).

MT ialah imbuhan (awalan, akhiran dan sisipan ) dan MB ialah kata akar (kata yang tertinggal setelah kita keluarkan semua imbuhan. Biasanya pelajar cenderung terlupa bahawa sisipan (em, el, er dan in) juga dikategorikan sebagai imbuhan.Untuk lebih jelas perhatikan contoh berikut :


Perkataan "menjelajahi" mengandungi 4 morfem iaitu 3 MT dan 1 MB.
3 MT dalam perkataan tersebut ialah :
1. men- (awalan)
2. -i (akhiran)
3. -el- (sisipan)


1 MB dalam perkataan tersebut ialah :
1. jajah (perkataan yang tertinggal setelah kita mengeluarkan semua bentuk imbuhannya (awalan, akhiran dan sisipan).


Bagaimana pula caranya untuk mengetahui sama ada sesuatu perkataan tertentu mengandungi sisipan (em, el, er atau in) atau tidak?


Memandangkan sisipan merupakan salah satu bentuk imbuhan, maka kita dengan mudah dapat menentukan sesuatu kata mengandungi sisipan atau tidak dengan cara mengeluarkan sisipan (salah satu bentuk imbuhan) daripada kata tersebut. Saya tunjukkan satu contoh seperti di bawah :


Perkataan "gemuruh" mengandungi sisipan kerana sekiranya sisipannya (-em-) dikeluarkan, maka kita akan dapat kata akarnya iaitu "guruh".


Perkataan "gembira" tidak mengandungi sisipan kerana sekiranya sisipan "em" dibuang, maka yang tinggal ialah kata "gmbira". Tentunya tidak ada kata akar "gmbira" dalam bahasa Melayu.

Teknik Menjawab BM1


BM 1 : Suku kata Terbuka atau Suku kata Terbuka.

Suku kata : terbuka atau tertutup ?. Sebenarnya pelajar mengetahui subtajuk ini, cuma masalahnya pelajar tidak ingat. Saya cuba mengingatkan anda.


Caranya:
Fokus kepada perkataan "terbuka" dan "tertutup". Perhatikan huruf terakhir pada kata "terbuka" dan "tertutup".


Huruf akhir pada perkataan "terbuka" iaitu huruf "a" iaitu huruf vokal. Maka suku kata terbuka ialah suku kata yang diakhiri dengan huruf vokal.


Huruf akhir pada perkataan "tertutup" iaitu huruf "p" iaitu huruf konsonan. Maka suku kata tertutup ialah suku kata yang diakhiri dengan huruf konsonan.


Cuba aplikasikan pemahaman anda dengan menjawab soalan di bawah :


29. Perkataan yang manakah mengandungi penggunaan vokal (e) pepet dalam suku kata tertutup ?
I     Lesap      Le / sap (diakhiri dengan huruf vokal)
II   Sendal      Sen / dal (diakhiri dengan huruf konsonan)
III  Mengkal  Meng / kal (diakhiri dengan huruf konsonan)
IV  Cekal       Ce / kal (diakhiri dengan huruf vokal)
A I dan III
B I dan IV
C II dan III
D II dan IV

Teknik Menjawab BM1


BM 1 : Kertas soalan awak bersih ?

Hasil pemerhatian dan pemantauan saya ketika pelajar menghadapi Peperiksaan Percubaan STPM, terdapat calon yang masih cuai tentang konsep "proses" menjawab soalan. Malah lebih menghairankan, kadangkala kertas soalannya bersih tanpa contengan. Bagaimanakah agaknya cara pelajar tersebut berfikir untuk mencari jawapan ?.

Untuk makluman pelajar, kebanyakan soalan memerlukan proses untuk menentukan jawapan tepat. Tanpa proses yang betul, kadangkala pelajar tidak dapat memilih jawapan yang betul walaupun untuk soalan yang beraras mudah.

Proses yang perlu dilakukan oleh pelajar terkandung dalam soalan. Saya mengambil soalan Percubaan STPM 2011 negeri Kelantan sebagai contoh.

36. Yang manakah kata ganda berentak pengulangan vokal ?
A. Sayur-mayur
B. Warna-warni
C. Anak-pinak
D. Kelam-kabut

Cuba lihat soalan di atas. Untuk menjawab soalan ini, calon perlu melakukan proses begini :
A. S / a / y / u / r (pengulangan vokal /a/ dan /u/)
     m / a / y / u / r
B. W / a / r / n / a (pengulangan konsonan /w/, /r/ dan /n/)
     w / a / r / n / i
C. A / n / a / k (bebas - tiada vokal atau konsonan yang diulang)
     p / i / n / a / k
D. K / e / l / a / m (bebas - tiada vokal atau konsonan yang diulang)
     k / a / b / u / t

40. Yang manakah perkataan yang terbentuk daripada kata dasar ekasuku kata ?
A. Pengeboman
B. Pengeraman
C. Pengesanan
D. Pengerusi

Cuba lihat soalan di atas. Untuk menjawab soalan ini, calon perlu mengeluarkan kata dasar setiap pilihan jawapan terlebih dahulu, kemudian barulah ditentukan bilangan suku katanya (SK) , contohnya :

A. Pengeboman - bom ( 1 SK)
B. Pengeraman - e / ram ( 2 SK)
C. Pengesanan - ke / san ( 2 SK)
D. Pengerusi - ke / ru / si ( 3 SK)

Soalannya memang senang, tetapi jika cuai !, mungkin cita-cita tidak akan tercapai !.
Berhati-hatilah dan sentiasa tenang.

Teknik Menjawab BM1

Tahukah anda bahawa terdapat sesetengah soalan BM 1 STPM yang hanya memerlukan pemikiran logik akal untuk menjawabnya ? 
Saya tunjukkan beberapa soalan sebagai contoh.

STPM 2004
 
16   Susunan yang betul untuk perancangan bahasa Melayu ialah
         I   pengekodan
        II   perancangan taraf
       III   perancangan dasar
       IV   penilaian hasil dan pemantapan strategi.

        A   I, II, III dan IV
        B   II, III, IV dan I
        C   III, I, II dan IV
        D   III, II, I dan IV

Kata kunci soalan di atas  ialah perkataan susunan. Pilihan jawapan IV mestilah merupakan susunan terakhir kerana penilaian merupakan peringkat terakhir. Oleh itu pilihan jawapan yang mungkin ialah C atau D. Calon hanya perlu menilai susunan kedua pilihan jawapan C ( I : pengekodan) dan D ( II : perancangan taraf). Memandangkan  terdapat perkataan perancangan dalam pilihan jawapan II : perancangan taraf yang merupakan proses yang lebih awal daripada  I : pengekodan , maka pilihan yang betul ialah pilihan jawapan D.

STPM 2002

14   Antara yang berikut, yang manakah pernyataan yang menunjukkan perancangan bahasa
       Melayu pada peringkat pertama?
         I   Melaksanakan rancangan yang disusun
        II   Mempertimbangkan kedudukan bahasa-bahasa lain
       III   Memilih bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
       IV   Melaksanakan kajian semula terhadap kedudukan bahasa kebangsaan

        A   I dan II
        B   I dan IV
        C   II dan III
        D   III dan IV

Kata kunci soalan di atas ialah perkataan perancangan. Perancangan  mestilah perkara yang belum dilaksanakan. Oleh itu, pilihan jawapan I dan IV semestinya salah kerana mengandungi pekataan "melaksanakan". Perkataan"mempertimbangkan" dalam pilihan II dan perkataan "memilih" dalam pilihan jawapan III menepati makna perancangan iaitu tindakan yang belum dilaksanakan. Oleh itu jawapan yang betul ialah C.

Soalan STPM di atas hanyalah contoh untuk menunjukkan terdapat beberapa soalan yang kelihatan sukar sebenarnya mudah untuk dijawab. Cuba teliti soalan-soalan STPM yang lain untuk melihat soalan-soalan sebegini. Yang penting jangan gelabah dan jangan mengalah. Fikiran mesti tenang ketika menjawab soalan.

Alih Bahasa Teks

Untuk pelajar 6SR sila buat latihan di bawah ini.

1. Alih bentuk bahasa di bawah ini kepada bentuk prosa biasa.                                                      [15 m]                          

Cikgu Din melangkah masuk ke dewan dengan senyuman.
“ Siapa di sini telefon bimbitnya paling canggih?” Tanya Cikgu Din.
Kami saling berpandangan.Pelik dengan soalan Cikgu Din.
“ Wai Kit Cikgu,” jawabFakrul .
“Telefon kamu ada kamera Wai Kit?” Tanya Cikgu Din lagi.
“ Ya cikgu ,dua belas megapixel! ” Jawab Wai Kit bangga.
“Cikgu nak pinjam, nak ambil gambar dengan kamu semua.Hari ini hari terakhir cikgu di sekolah ini.”Jelas Cikgu Din.
“Cikgu... cikgu kena berhenti mengajar?” Tanya Marina sambil memandang ke arahCikgu Din.
Cikgu Din menggeleng sambil tersenyum.
“Cikgu tak cakap cikgu kena berhenti mengajar.Cikgu akan terus mengajar, tapi bukan di sekolah ini!”Jelas Cikgu Din.
Semua terdiam.Sedih.Geram dan kesal.Cikgu Din meneliti wajah kami semua.
Kemudian dia menambah... “Oh ya, cikgu akan mulakan tuisyen di rumah cikgu. Setiap hari Sabtu, jam 10 pagi hingga 1 tengah hari. Kalau berminat, nanti cikgu berikan alamat!”Jelas Cikgu Din.

BLOG BAHASA MELAYU SMKUH