19 September 2012

Teknik Menjawab BM1

Tahukah anda bahawa terdapat sesetengah soalan BM 1 STPM yang hanya memerlukan pemikiran logik akal untuk menjawabnya ? 
Saya tunjukkan beberapa soalan sebagai contoh.

STPM 2004
 
16   Susunan yang betul untuk perancangan bahasa Melayu ialah
         I   pengekodan
        II   perancangan taraf
       III   perancangan dasar
       IV   penilaian hasil dan pemantapan strategi.

        A   I, II, III dan IV
        B   II, III, IV dan I
        C   III, I, II dan IV
        D   III, II, I dan IV

Kata kunci soalan di atas  ialah perkataan susunan. Pilihan jawapan IV mestilah merupakan susunan terakhir kerana penilaian merupakan peringkat terakhir. Oleh itu pilihan jawapan yang mungkin ialah C atau D. Calon hanya perlu menilai susunan kedua pilihan jawapan C ( I : pengekodan) dan D ( II : perancangan taraf). Memandangkan  terdapat perkataan perancangan dalam pilihan jawapan II : perancangan taraf yang merupakan proses yang lebih awal daripada  I : pengekodan , maka pilihan yang betul ialah pilihan jawapan D.

STPM 2002

14   Antara yang berikut, yang manakah pernyataan yang menunjukkan perancangan bahasa
       Melayu pada peringkat pertama?
         I   Melaksanakan rancangan yang disusun
        II   Mempertimbangkan kedudukan bahasa-bahasa lain
       III   Memilih bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
       IV   Melaksanakan kajian semula terhadap kedudukan bahasa kebangsaan

        A   I dan II
        B   I dan IV
        C   II dan III
        D   III dan IV

Kata kunci soalan di atas ialah perkataan perancangan. Perancangan  mestilah perkara yang belum dilaksanakan. Oleh itu, pilihan jawapan I dan IV semestinya salah kerana mengandungi pekataan "melaksanakan". Perkataan"mempertimbangkan" dalam pilihan II dan perkataan "memilih" dalam pilihan jawapan III menepati makna perancangan iaitu tindakan yang belum dilaksanakan. Oleh itu jawapan yang betul ialah C.

Soalan STPM di atas hanyalah contoh untuk menunjukkan terdapat beberapa soalan yang kelihatan sukar sebenarnya mudah untuk dijawab. Cuba teliti soalan-soalan STPM yang lain untuk melihat soalan-soalan sebegini. Yang penting jangan gelabah dan jangan mengalah. Fikiran mesti tenang ketika menjawab soalan.

Tiada ulasan:

BLOG BAHASA MELAYU SMKUH