20 September 2012

TIPS KARANGAN


Masalah Karangan Pelajar-pelajar Pra-U
Berbanding mata pelajaran lain, mata pelajaran Bahasa Melayu, khasnya Kertas 2 untuk pelajar PraU SR dan Bahagian C untuk pelajar PraU JR agak sukar untuk diulang kaji. Pandangan saya ini berdasarkan pemerhatian dan hasil perbualan dengan para pelajar. Terdapat sebilangan pelajar tidak atau sangat kurang mengulang kaji mata pelajaran ini, khususnya bahagian karangan ini.


Apa yang hendak diulang kaji cikgu ?

Saya kerap mendengar jawapan sebegini. Jawapan pelajar seperti di atas memberi gambaran tentang kekaburan mereka. Berbanding bahagian lain, jelas skop pelajarannya dan pelajar mengetahui tajuk/subtajuk yang perlu diulang kaji. Pada pandangan cikgu, bahagian karangan ini mementingkan penguasaan kemahiran. Oleh itu, calon digalakkan mengulangkaji perkara-perkara berkaitan kemahiran tersebut.

Antara kemahiran yang perlu dikuasai oleh pelajar ialah :

1. Kemahiran memahami isu dan kehendak soalan.
2. Kemahiran mencari idea / isi yang menepati kehendak soalan.
3. Kemahiran membina perenggan pendahuluan, isi sokongan dan kesimpulan yang menepati strukturnya.
4. Kemahiran menghurai / mengolah isi.
5. Kemahiran membina ayat yang betul.

Saya cuba menyenaraikan beberapa kelemahan yang biasa dalam kalangan pelajar mengikut bahagian dan cadangan untuk mengatasinya.

1. Masalah mengemukakan isi-isi yang relevan dengan kehendak soalan.
Ramai calon agak sukar mengemukakan isi yang relevan dengan isu dan kehendak soalan. Masalah ini berpunca daripada penguasaan calon terhadap sesuatu isu sangat terhad akibat daripada kurangnya pembacaan. Membaca rangka-rangka karangan yang terdapat dalam buku-buku rujukan merupakan cara yang agak pantas untuk menguasai sesuatu isu dengan banyak dalam masa yang agak singkat. Anda juga boleh menjadikan akhbar sebagai bahan bacaan harian kerana apa-apa sahaja maklumat berkemungkinan boleh digunakan semasa menjawab soalan karangan. Rujuk juga cara dan kaedah mencari isi yang terdapat dalam blog cikgu sebagai panduan. Ada pelajar yang cuba menjangakan soalan yang akan keluar. Tindakan ini tidak salah, tetapi adalah lebih baik anda menguasai kemahiran-kemahiran yang perlu agar apa-apa juga isu yang keluar nanti boleh dijawab dengan agak baik.

2. Masalah menghurai isi-isi karangan.
Ada huraian perenggan isi sokongan pelajar yang tidak berkaitan dengan isi yang terkandung dalam ayat judul/ ayat topik. Berdasarkan pemerhatian dan penandaan latihan, saya mendapati mereka menghurai apa-apa sahaja yang mereka tahu dan tidak menjelaskan lebih lanjut isi yang dikemukakan.

Pastikan anda menghurai perkara-perkara yang berkaitan dengan isi yang telah anda kemukakan. Jangan sesekali menerangkan perkara-perkara lain yang tidak berkaitan dengan isi. Menurut kata ramai guru yang mempunyai kepakaran, perenggan isi yang baik menjawab persoalan ASiBiDiBaM (Apa, Siapa, Bila, Di mana, Bagaimana, Mengapa). Pada pandangan cikgu, tulislah apa-apapun asalkan ideanya memberi penjelasan lebih lanjut tentang isi yang telah anda kemukakan.

Contohnya, sekiranya anda memilih "sikap negatif pemandu" sebagai punca kemalangan, huraian anda mestilah berkisar tentang "sikap negatif" pemandu sahaja dan bukannya pada perkara-perkara lain seperti keadaan jalan raya, kenderaannya atau hal-hal lain yang tiada kaitan dengan "sikap". Seperkara lagi, huraian mestilah berbentuk khusus dan menjelaskan isi.

3. Masalah binaan ayat.
Binaan ayat yang lemah menyebabkan idea yang ingin anda sampaikan menjadi kabur dan sukar difahami oleh penanda. Ini antara masalah majoriti pelajar di sekolah. Yang agak menghairankan, mereka boleh membina ayat dengan baik dan dapat menjawab soalan berkaitan subtajuk Sintaksis dalam Bahasa Melayu Kertas 1 dengan baik. Sekiranya anda boleh mengaplikasikan pengetahuan tersebut semasa anda menulis (membina ayat), alangkah baiknya. Masalah ini agak sukar untuk dijawab, dan memerlukan kajian lanjut.

Salah satu cara untuk mengetahui sama ada binaan ayat anda betul atau tidak, ideanya jelas atau tidak adalah dengan membaca ayat tersebut secara berasingan, tanpa dikaitkan dengan ayat-ayat sebelumnya atau sesudahnya. Pastikan anda sendiri yang membuat ayat tersebut boleh mengesan subjeknya (unsur yang diterangkan) dan predikatnya (unsur yang menerangkan)


Saya cadangkan anda membina ayat yang pendek-pendek. Elakkan daripada membina ayat yang melebihi 15 patah perkataan. Ulangkajilah subtajuk Sintaksis dengan bersungguh-sungguh. Binaan ayat perlu dipelajari. Biasakanlah cara sebegini dan tinggalkan kebiasaan anda yang gemar menulis ayat yang meleret-leret.

Lihat contoh salah satu perenggan isi sokongan yang dibuat oleh salah seorang pelajar cikgu. Bolehkah anda meneka isu dan kehendak soalan berdasarkan contoh perenggan isi sokongan tersebut.

Kemalangan yang melibatkan pengangkutan awam berpunca daripada keadaan pengangkutan awam yang tidak selamat. Terdapat peralatan kenderaan tersebut yang tidak berfungsi dengan baik. Pemeriksaan oleh pihak PUSPAKOM mendapati kebanyakanan bas dan teksi yang diperiksa mempunyai masalah brek yang tidak boleh berfungsi dengan baik. Selain itu, lampu isyarat dan tayar kenderaan tersebut tidak di selenggara mengikut jadual. Kelemahan-kelemahan ini boleh mengundang mala petaka apabila kenderaan ini digunakan di jalan raya. Pemandu tidak dapat memberhentikan kenderaan mereka dengan cepat khususnya pada waktu hujan akibat permukaan jalan yang licin. Pengusaha bas ekspres masih menggunakan bas yang sudah berusia lebih 15 tahun untuk pejalanan yang jauh. Keadaan enjin yang sudah usang dan tidak diselenggara secara berkala boleh menyebabkan berlakunya kebakaran yang boleh menyebabkan kemalangan terjadi .

"Terlalu banyak memberi alasan tidak akan menghasilkan kecemerlangan dalam kehidupan. Fikir-fikirkalah" 

Tiada ulasan:

BLOG BAHASA MELAYU SMKUH